HUKUM MEWARNA RAMBUT

Friday, September 17, 2010

Rambut mempunyai peranan dan hukum tertentu, seperti wajib mencukur atau menggunting rambut sekiranya
melakukan haji, sunat mencukur rambut anak yang baru lahir dan sebagainya. OIeh itu Islam menuntut agar ia dipelihara dan dijaga dengan baik sehinggakan setelah dicukur atau digunting sunat pula ditanam.
Rasulullah S.A.W menuntut umatnya memuliakan rambut sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah r.a di dalam
hadis marfu’:
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: Barang siapa yang mempunyai rambut hendaklah ia dimuliakan .” (Hadis riwayat Abu Daud) Mewarnai rambut yang beruban adalah sunat. Begitu juga dengan janggut yang beruban. Manakala warna yang dibenarkan ialah kekuningan atau kemerahan. Inilah pendapat yang disepakati oleh para ashab. (AI-Majmu’ : 1/360- 362)
Para fuqaha’ pula sepakat mencela perbuatan mewarna rambut dengan warna hitam. Adapun pendapat yang shahih mengatakan bahawa ianya haram digunakan melainkan ke atas orang-orang yang berjihad. (Al-Majmu’ : 1/360-362).

Dalil haram mewarna rambut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir r.a katanya: Maksudnya: “Pada hari penaklukan Makkah, dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah S.A. W dengan rambut dan janggutnya berwarna putih seperti tsaqhamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih).” Maka baginda bersabda : “Tukarlah ini dengan sesuatu (yang lain), tetapi jauhilah (daripada menggunakan) warna yang hitam.” (Hadis riwayat Muslim) sementara hadis daripada Ibnu ‘Abbas r.a katanya: Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda : “Di akhir zaman akan terdapat ramai kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam seperti dada burung merpati, mereka tidak dapat menikmat harumnya bau syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud) Perbuatan mewarnakan rambut dengan warna hitam sudah jelas hukumnya. Oleh itu jauhilah perbuatan mewarnakan rambut tanpa tujuan atau dengan pewarna hitam.




rujukan: http://www.muftiselangor.gov.my/E-Book/Download/KoleksiAt-Taqwa/At-Taqwa5/At-Taqwa5(19).pdf